Jumaat, 4 Disember 2009

Pembakaran Sampah di Sri Gombak Fasa 8


Gombak – 5hb Dis, 2009 ’Berjiran’ dengan tempat pembuangan sampah sememangnya banyak membawa masalah terutama jika tempat itu tidak mempunyai sistem pengurusan yang baik.

Bukan sahaja terpaksa berdepan dengan pencemaran bau dan sisa toksik, mereka juga perlu menghadapi risiko pencemaran udara jika kawasan pelupusan itu terbakar.

Inilah yang dihadapi oleh penduduk Sri Gombak Fasa 8 di sini berikutan kewujudan tapak pelupusan sampah yang didakwa beroperasi secara haram berhampiran kawasan itu.

Penduduk di situ terpaksa menghidu udara bertoksik setiap hari sehingga ada di antara mereka menghadapi kesukaran untuk bernafas.

Lebih menakutkan, tempat pembuangan sampah itu turut berisiko untuk runtuh kerana longgokan sampah di situ ada yang sudah membentuk curam setinggi 15 meter.

Tinjauan yang dilakukan oleh Kakitangan Pengurus PKM Gombak Setia Fasa 3 En. Kong Tuck Wah bersama wakil daripada kakitangan Ahli Majlis, JKP Zon 11 (Khaulah Azwar) ke lokasi itu mendapati kesan-kesan kebakaran pada longgokan sampah dan kayu-kayan yang ada sekitar tapak tersebut masih lagi belum reda. Sudah hampir 4 hari yang bermula daripada 2hb Dis, 2009 sehingga hari ini.

Ia terbukti apabila kelihatan kepulan asap dari beberapa longgokan sampah yang mencemari udara. Malah, kepulan asap itu juga dapat dilihat dari jauh, lebih kurang tiga kilometer dari tempat kebakaran iaitu dari Sri Gombak.

Difahamkan, berkemungkinan kebakaran yang berlaku sejak Rabu lalu sehingga hari ini berpunca daripada gas metana yang terperangkap di bawah tanah dan timbunan sampah.

Kebakaran tersebut dikatakan sukar dipadamkan kerana pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sendiri tidak dapat mengenal pasti lokasi punca kebakaran tersebut.

Keluasan tanah yang dianggarkan lebih dua hektar itu didakwa oleh MPS masih lagi belum jelas status pemiliknya sama ada tanah kerajaan ataupun persendirian.

Bagaimanapun, MPS (Jabatan Penguatkuasa Jurutera Awam & Penyelenggaraan & Alam Flora iaitu En Dzulkifli bersama 2 orang kakitangan Alam Flora tetap akan menjalankan pemantauan dan berbincang dengan semua pihak berkaitan dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang timbul itu.

Menurut Mr. Kwong (PKM Gombak Setia Fasa 3) ketika ditemui mendakwa, semasa tempat pembuangan itu mula terbakar, keadaan sekitar kawasan tersebut amat teruk dan udara di situ tercemar dengan habuk dan sisa pembakaran sepanjang masa.

Keadaan itu menyebabkan penduduk di situ terpaksa duduk di dalam rumah sahaja kerana risau akan habuk yang berasid itu akan memberi kesan kepada mereka.

Katanya lagi, penduduk tidak mengetahui siapa yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu kerana tidak berani untuk menyiasat sendiri.

Pada asalnya, tempat tersebut adalah kawasan perumahan murah yang diduduki oleh warga indonesia tetapi telah dimusnahkan dan berkemungkinan akan didirikan kawasan pembinaan.

Bagaimanapun, sekarang ini sampahsarap domestik turut dibuang ke kawasan tersebut. Keadaan itu berlaku kerana tiada pemantauan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mujur sekarang tak teruk sangat tetapi kalau setiap hari berhadapan dengan keadaan berasap yang mungkin beracun, pasti akan timbul masalah lain kelak,” katanya.

Katanya lagi, semenjak berlaku kebakaran “saya rasa sakit tekak dan batuk-batuk akibat terhidu asap yang terhasil dari pembakaran tempat pembuangan sampah tersebut.

“Bayangkan jika angin kuat, pasti kawasan ini akan nampak berkabus kerana dipenuhi dengan asap. Itu belum lagi soal bau yang tidak pernah hilang sejak lama dahulu,” ujarnya.

Mr Kong meminta agar pihak MPS & Alam Flora perlu menyelesaikan masalah itu dengan segera supaya kawasan itu tidak terus menerus tercemar dengan bau dan asap yang tidak menyenangkan penduduk disekitar tersebut. Sehubungan itu beliau akan membawa masalah ini dan akan berbincang dengan YB Dato’ Hasan Bin Mohamed Ali. Adun Gombak Setia untuk diambil tindakan selanjutnya.

KOLEKSI FOTO


ASAP tebal yang menyelubungi kawasan pelupusan sampah yang terbakar ini menyebabkan penduduk terutamanya di Sri Gombak Fasa 8, menghadapi kesukaran bernafas dan masalah lain.

Editor : Khaulah Azwar


Tiada ulasan:

Catat Ulasan